Tuesday 29 November 2011

PAS tolak RUU, desak bawa ke JK Khas Parlimen

PAS tolak RUU, desak bawa ke JK Khas Parlimen | Print |
KUALA LUMPUR, 29 Nov: PAS berpendirian akan memprotes dan menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman melainkan ianya dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, hal itu kerana pembentangan RUU tersebut dilihat tidak lebih kepada respon negatif kerajaan terhadap kejayaan perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu.

"Pas protes dan menolak sepenuhnya rang undang-undang ini kecualilah ianya dibawa kepada Jawatankuasa Khas Parlimen dahulu.

"Rang undang-undang ini sebenarnya menghukum rakyat terutamanya yang berhimpun di Bersih 9 Julai lalu.

"Ini adalah reaksi negatif kerajaan bagi menghukum rakyat kerana mengadakan perhimpunan 9 julai yang lalu dan untuk memastikan rakyat tidak boleh lagi berhimpun bukan 100 ribu, bukan 500 ribu malah beberapa ratus ribu pun tidak boleh lagi berhimpun dan melakukan apa yang berlaku pada 9 julai lalu," kata beliau pada sidang media bersama Majlis Peguam di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, RUU tersebut jelas membuktikan kerajaan tidak bersedia menghadapi kemaraan rakyat yang berlansung dalam keadaan aman.

"Umno BN tidak toleran, tidak sanggup untuk menghadapi rakyat yang boleh berhimpun dan berarak secara aman seperti yang berlaku pada perhimpunan Bersih itu," katanya.

Majlis Peguam wakili rakyat


Sementara itu, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tindakan Majlis Peguam mengadakan perarakan aman membantah RUU tersebut adalah mewakili suara rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi.

"Apa yang dijalankan oleh Majlis Peguam memang menyuarakan hasrat rakyat Malaysia kerana kita tidak mahu satu akta perhimpunan haram sebaliknya hendak dibebaskan daripada pengharaman ataupun pemenjaraan hak asasi manusia selama ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah membuktikan kebenaran berhimpun secara aman yang diberikan kepada rakyat tidak mendatangkan keburukan malah dihormati rakyat.

"Kita telah buktikan di Pulau Pinang kita adakan satu sudut pidato sebanyak dua kali seminggu dan rakyat dibenarkan berhimpun secara bebas tanpa sebarang provokasi.

"Ini berjalan hampir dua tahun dan tak ada masalah dan saya rasa kerajaan Malaysia harus mempunyai keyakinan terhadap kematangan rakyat," katanya sambil berkata, DAP bersama Pakatan Rakyat menyokong penuh Majlis Peguam untuk menolak RUU tersebut.

Harakahdaily 

0 ulasan:

Post a Comment