Tuesday 29 November 2011

Kerajaan, Korporat Pinjam Wang KWSP RM84 Bilion


KUALA LUMPUR 29 Nov: Kerajaan dan institusi korporat meminjam wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM83.7 bilion setakat Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, jumlah berkenaan adalah bagi pelaburan dalam bentuk pinjaman dan sebahagian besarnya adalah jaminan kerajaan.

Menurutnya, nilai tersebut sebanyak RM79.41 bilion atau 95 peratus adalah pinjaman kepada kerajaan manakala baki RM4.31 bilion atau lima peratus adalah pinjaman kepada institusi korporat.

“Pinjaman yang diberikan KWSP adalah dijamin dengan sekuriti atau jaminan yang bersesuaian bagi memastikan pinjaman tersebut berkualiti.

“Dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh berintegriti, telus dan profesional, governance stucture telah dipertingkatkan seiring dengan pertumbuhan asetnya,” katanya.

Beliau menjawab soalan Azan Ismail (KEADILAN-Indera Mahkota) yang ingin mengetahui mengenai kedudukan jumlah pinjaman KWSP kepada institusi korporat, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Awang memaklumkan KWSP tidak memberi pinjaman kepada syarikat berisiko tinggi tetapi hanya kepada syarikat yang mempunyai kaitan kerajaan dan mempunyai aset.

Semua bentuk pelaburan KWSP dipantau dan dinilai Panel Pelaburan dan Risiko KWSP sebagai jaminan bahawa pinjaman itu selamat.

“Bagaimanapun keputusan panel ini perlu mendapat kelulusan Menteri Kewangan yang perlu ditapis di peringkat kementerian.

Saya yakin pelaburan berisiko tinggi tidak akan dibuat,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN Arau).

Ismail ingin tahu sama ada KWSP benar-benar memantau semua aktiviti terutama yang berisiko tinggi.

Menurutnya, panel pelaburan tersebut dianggotai beberapa pakar termasuk Timbalan Gabenor Bank Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

http://www.keadilandaily.com/kerajaan-pinjam-wang-kwsp-rm84-bilion/

0 ulasan:

Post a Comment