Setelah 53 tahun merdeka negara kini
berada dalam krisis. Cita-cita untuk membina sebuah bangsa yang bersatu
padu dan negara yang makmur telah gagal.
Demokrasi
dan hak asasi rakyat terus dinodai oleh pemerintah UMNO/BN. Rasuah dan
penyalahgunaan kuasa membarah.
Kekayaan negara telah dibolot oleh
segelintir elit berkuasa. UMNO/BN tidak mempedulikan rakyat terbanyak
yang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi. Pendapatan rakyat tidak
meningkat kerana dikekang oleh pemerintah.
Daya saing negara dan rakyat
terhakis akibat dasar yang lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan
kebijakan (dasar) yang tidak berjiwa rakyat.
Krisis parah sebegini memerlukan tekad
dan azam politik untuk diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru
dengan membuat anjakan paradigma.
Maka, Pakatan Rakyat sebagai
permuafakatan politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar
dan kebijakan yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar
Bersama yang dimeterai.
Dasar Bersama adalah berlandaskan empat kerangka asas iaitu:
- Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
- Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;
- Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
- Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
Dasar Bersama ini menggariskan iltizam
kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul
setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik
perkauman.
Muafakat asas yang membentuk Dasar
Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan
Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya.
Tiga perkara
pertama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Pakatan
Rakyat untuk:
- Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
- Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
- Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.
Ketetapan Pakatan Rakyat mengangkat
konsep muafakat di antara parti-partinya membentuk kesepakatan
perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi laluan kepada
lahirnya sistem dua parti di negara ini.
Sejarah besar yang dicipta
dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk menukar
kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang bobrok dalam PRU13
berhasil.
Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan bersejarah, ia satu
kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis parah.
Agenda Pakatan ini adalah nadi kepada
perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pegangan untuk
membina sebuah negara dan masyarakat yang menzahirkan semangat
demokrasi dan keadilan dalam semua aspek.
Agenda ini menuntut perubahan
mutlak (minda, pendekatan dan kaedah) untuk menggembleng muafakat
semua pihak.
Ini perlu demi membebaskan institusi-institusi penting
negara dari durjana campur tangan sebahagian kecil golongan elit yang
mempertahankan tembolok mereka semata-mata.
Pakatan Rakyat juga meletakkan agenda
pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama sebagai teras kepada
kesemua program yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang, demi
membela nasib rakyat terbanyak.
Malaysia berdepan dengan prospek ekonomi
yang pudar dan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara
serantau yang pernah setanding dengan kita.
Tatkala Malaysia masih
meraba-raba mencari penawar kepada kemunduran ekonomi ini, negara wajib
waspada dengan saingan baru dari negara-negara yang sebelum ini lebih
mundur dari kita.
Darjat ekonomi kita di mata antarabangsa dan dalam
konteks ekonomi global telah merudum.
Lebih parah lagi, pemerintah yang
bongkak dan mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat.
Bantuan-bantuan kepada rakyat disekat atas nama mengurangkan beban
kerajaan, sementara lohong ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan
negara dapat mereka bolot secara rakus.
Tindakbalas pemerintah juga adalah
songsang dan tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya
saing negara.
Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana
janji untuk membawa ‘transformasi ekonomi’ bercanggah dengan tindakan
semasa yang bertentangan dengan tuntutan reformasi.
Makanya, negara dan rakyat berdepan
dengan ketakutan yang berlipat kali ganda. Amalan menunggang
institusi-institusi penting negara demi menutup kelemahan sendiri dan
menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa.
Matlamat kuasa BN adalah
untuk terus berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan berkesan
untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan sosial
yang semakin menghimpit.
Malaysia perlu diubah sekarang.
Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan
sedia ada adalah kabur. Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala
kerosakan bangsa dan negara akan berterusan.
Malaysia akan bertukar
dari status malap kepada gelap.
Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa
Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan
prinsip keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera.
Pakatan
Rakyat yakin bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan
meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara
dan masyarakat kita.
Agenda Pakatan ini menggariskan
perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk
merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang
makmur dan adil.
Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan
berkekalan jika ia ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan
persaudaraan rakyat.
Hasrat ini akan mekar berkembang; bila mana
semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran dan
institusi-institusi penting negara.
Agenda Pakatan ini adalah penzahiran
hasrat rakyat untuk melaksanakan islah masyarakat yang digariskan oleh
Dasar Bersama.
Ia adalah jendela yang paling luas untuk menggambarkan
sebuah Malaysia yang makmur dan adil di bawah Pakatan Rakyat.
Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Y.B. Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
(Untuk edisi penuh Buku Jingga sila klik di sini)
http://www.keadilandaily.com/agenda-pakatan-buku-jingga-ubah-sekarang-selamatkan-malaysia/
0 ulasan:
Post a Comment