SHAH ALAM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) kekal dengan
pendirian mahu mendengar kes tatatertib terhadap penuntutnya Adam Adli
Abdul Halim, yang menurunkan banting berupa bendera Datuk Seri Najib
Razak bulan lalu, 9 Januari ini.
Walaupun
didesak pelbagai pihak supaya Adam Adli tidak diambil tindakan
tatatertib oleh Upsi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, ia akan tetap diadakan jam 3
petang, 9 Januari.
Menurutnya, meskipun
perhimpunan di pekarangan Upsi awal pagi semalam bertujuan mendesak
supaya Adam Adli dibebaskan, pihaknya tidak berganjak dengan keputusan
tindakan tatatertib terhadapnya.
“Adam Adli sedia maklum bahawa pendengaran hukuman akan diadakan pada 9
Januari ini atas tindakannya menurunkan bendera, namun penyertaannya
pada demonstrasi di hadapan perkarangan Upsi juga akan dikenakan
tindakan tatatertib sekali lagi oleh pihak Upsi ,” katanya.
Bagaimanapun katanya, notis tindakan tatatertib kepada Adam Adli
akibat penyertaannya pada demonstrasi itu akan diserahkan dalam tempoh
10 hingga 14 hari lagi.
Junaidi berkata,
selain Adam Adli, seorang lagi mahasiswi Upsi, yang turut ditahan polis
pada malam kejadian itu, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim, pelajar
tahun ketiga juga tidak terlepas dengan tindakan tatatertib.
Dalam pada itu katanya, Upsi kini sedang menyiasat pembabitan beberapa
mahasiswanya pada demonstrasi menuntut pembebasan Adam Adli dan
penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) semalam.
Junaidi berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman video dalam kejadian
terbabit bagi memastikan identiti mahasiswa yang terlibat.
“Kami dimaklumkan terdapat beberapa mahasiswa Upsi yang terlibat. Jika
terdapat bukti sahih pembabitan itu, mereka juga tidak akan terlepas
dengan tindakan tatatertib oleh pihak Upsi,” katanya.
0 ulasan:
Post a Comment